Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan hargai anggota keselamatan tungkus-lumus cari mangsa tanah runtuh

SHAH ALAM, 20 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menghargai usaha anggota keselamatan yang bertungkus-lumus mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa tanah runtuh di Batang Kali.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berbangga dengan kesiapsiagaan dan kerjasama baik yang ditunjukkan setiap agensi terlibat sejak hari pertama.

“Baginda berdua amat menghargai usaha dan kesungguhan semua pihak dan turut khuatir apabila diberitahu ada anggota yang cedera, sakit dan berdepan cabaran getir sepanjang operasi berjalan.

“Baginda bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini juga akan menyukarkan lagi usaha-usaha SAR yang sedang giat dilaksanakan sejak 16 Disember lalu,” menurut kenyataan disiarkan di Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berharap jabatan dan agensi di semua peringkat akan terus bersemangat dan bersatu hati serta diberikan kemudahan fizikal dan mental untuk menyelesaikan operasi itu dengan sempurna.

Baginda turut mendoakan pengorbanan mulia anggota penyelamat dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah SWT.

Lima agensi penyelamat terlibat ialah bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

Tragedi tanah runtuh pada Jumaat lalu di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm menyaksikan 61 daripada 94 mangsa selamat, 24 terkorban manakala sembilan lagi masih hilang.

Semalam, Pengarah Bomba Selangor Datuk Norazam Khamis, yang terlibat sejak hari pertama operasi SAR dikejarkan ke Hospital Selayang akibat keletihan dan strok ringan, namun dilaporkan terkawal.

 

 

 


Pengarang :