Kerja ekskavasi arkeologi pada 2011 di Kampung Lubuk Jaya, Kuala Selangor menemui syiling pertama yang dicetak atas nama Sultan Ibrahim Shah. Foto Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)
BERITA UTAMA

Sultan Ibrahim pelopor mata wang Selangor

Sekalipun menempuh pelbagai peristiwa termasuk serangan Belanda pada 13 Julai 1784, pemerintahan Sultan Ibrahim Shah ibni Sultan Salehuddin Shah selama 54 tahun berjaya mengukuhkan kedudukan dan pembangunan negeri.

Sepanjang pentadbiran Sultan Selangor kedua itu antara 1782 hingga 1826, Selangor terkenal sebagai pengeluar bijih timah. Perkembangan ekonomi berlangsung pesat hasil perdagangan komoditi tersebut.

Baginda juga pelopor mata wang kesultanan Selangor. Cucunda Yamtuan Muda Riau II Daeng Celak itu dipercayai sultan pertama di negeri ini yang menghasilkan mata wang sendiri atas nama Baginda.

Kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) Intan Salina Idrus berkata kerja ekskavasi arkeologi pada 2011 di Kampung Lubuk Jaya, Kuala Selangor menemui syiling pertama yang dicetak atas nama Sultan Ibrahim Shah.

“Kerja penggalian dilakukan di tanah milik persendirian kerana awalnya tuan tanah menjumpai artifak ketika kerja menggali parit, kemudian kita menjalankan kerja ekskavasi di situ bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

“Hasilnya, kita menemui 10 unit mata wang dan empat daripadanya mempunyai tulisan dengan perkataan Sultan Ibrahim,” katanya pada 5 November.

Syiling bergerigi

Pada permukaan depan syiling tertera perkataan Seri Sultan Ibrahim Shah yang disusun dalam empat baris. Di belakangnya pula terpapar perkataan Selangor Darul Khusus.

Syiling seberat 8.6 gram dan berdiameter 26 milimeter itu dihiasi dengan gerigi di sekelilingnya.

Semua syiling berkenaan diperbuat daripada timah dan tulisannya menggunakan tulisan jawi.

Menerusi jurnal Warkah Sultan Ibrahim 1785-1794 oleh Universiti Teknologi Petronas, cap mohor Baginda juga terukir ayat al-Quran.

Penggunaan tulisan jawi dan penggunaan tarikh hijrah menggambarkan identiti Islam ketika zaman pemerintahan Baginda.

Intan Salina menambah penemuan mata wang Sultan Ibrahim Shah ini dikategori sebagai artifak yang mempunyai pentarikhan mutlak kerana tertera nama raja atau penguasa serta angka tahun diterbitkan.

“Namun penyelidikan lanjut tentang syiling ini memerlukan gambaran lebih terperinci seperti sejak bila mata wang timah di Selangor dikeluarkan. Juga perlu dikaji ialah fungsi wang berkenaan sama ada sebagai ufti, tukaran atau ada nilai semasa untuk pembelian.

“Kita juga perlu tahu lebih terperinci di mana tempat dan cara pembuatan mata wang berkenaan,” katanya lagi.

Penggunaan syiling Sultan Ibrahim ini dipercayai terhenti ketika Inggeris mula memperkenal mata wang mereka di Tanah Melayu.

Foto ihsan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).


Pengarang :