DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru rakyat ganding bahu bina negara, ketepi fahaman politik

SHAH ALAM, 31 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat berganding bahu membina kembali negara pascapandemik Covid-19 melalui pemulihan sosial, politik dan ekonomi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu boleh dicapai sekiranya semua pihak mengenepikan fahaman politik dalam menyelesaikan permasalahan yang didepani negara.

“Baginda tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli politik bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Di tahun baharu ini juga Baginda berharap agar rakyat terus mengutamakan keamanan dan keharmonian dan elakkan daripada menyentuh isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum,” menurut perutusan Tahun Baharu Baginda di Facebook.

Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan menzahirkan perutusan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat terutama di Selangor.

“Baginda berdua mendoakan agar tahun 2023 membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk sekalian rakyat.

“Baginda berdua sentiasa mendoakan agar sekalian rakyat sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala,” tulisnya lagi.


Pengarang :