Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah sempena Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara di Taman Puncak Jalil pada 15 Disember 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suri rumah semangat beratur dua jam awal mahu beli ikan, ayam murah

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

PETALING, 15 DIS: Tidak mahu pulang dengan tangan kosong, pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara sanggup beratur dua jam awal sebelum program bermula.

Fatin Khairunnisa Mansor, 28, berkongsi pengalaman tiga kali mengunjungi program sama di tempat lain, namun barang yang ingin dibeli habis apabila sampai gilirannya.

Fatin Khairunnisa Mansor

“Tiga kali sebelum ini saya sampai lambat, tetapi hari ini jam 8 pagi saya sudah beratur untuk pastikan tidak pulang dengan tangan kosong.

“Gembira betul saya dapat beli banyak barang seperti ayam, telur, beras, daging, ikan dan barangan kering lain. Harganya RM70 sahaja, kalau dekat luar pasti mencapai RM100,” kata suri rumah itu.

Dia antara ratusan peserta yang ditemui pada program jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Puncak Jalil di sini hari ini.

Sementara itu, Robiah Rahmat, 57, berkata laluan khas yang disediakan untuk golongan memerlukan amat membantu termasuk dirinya yang susah berdiri lama selepas menjalani pembedahan di kaki.

Robiah Rahmat

“Mujur mereka sediakan kerusi dan boleh dapat giliran lebih awal. Saya dapat beli 10 barang dengan harga kurang RM100. Memang tidak sia-sia dan keputusan yang sangat baik apabila kerajaan Negeri mahu teruskan program ini,” katanya.

Pada 13 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklum peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program itu selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Beliau menjelaskan jelajah siri kedua yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.


Pengarang :