EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada juara Top ECM 2022 Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards 2022, Pengarah Urusan Samu Giken Malaysia Sdn Bhd, Sam Kai di Hotel Mandrin Oriental pada 17 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Syarikat bekal kelengkapan rumah juara anugerah e-dagang Sidec

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Syarikat pembekal kelengkapan rumah, Samu Giken Malaysia Sdn Bhd menjuarai Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2022 di Hotel Mandarin Oriental semalam.

Syarikat tempatan itu membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Anugerah edisi ketujuh itu turut mengumumkan Fipper Marketing Sdn Bhd dan Global Synergy Concepts Sdn Bhd di tempat kedua dan ketiga dengan hadiah wang tunai RM10,000 dan RM8,000 selain sijil dan trofi.

Pengarah Urusan Samu Giken, Sam Chai berkata ini adalah penyertaan sulung syarikatnya dalam anugerah berprestij anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

“Kami lihat banyak syarikat yang menyertai anugerah ini dan langsung tidak menyangkakan boleh menang.

“Selepas memenangi anugerah ini, kami mahu cuba kembangkan perniagaan ke luar negara. Ini sasaran kami untuk tahun hadapan,” katanya.

Pengurus Pemasaran Digital Fipper, Fadila Aziz berkata kemenangan syarikatnya adalah hadiah sempena ulang tahun ke-14 jenama selipar berkenaan di pasaran.

“Pada tahun hadapan kami sasarkan untuk bekerjasama dengan lebih ramai pihak, selain mempelbagaikan produk lain yang bukan berasaskan getah,” katanya.

Sebanyak 240 syarikat bersaing bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah wang tunai RM60,000 dan ganjaran lain.


Pengarang :