Anggota bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam giat menjalankan proses mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh Batang Kali: Tiga warga Singapura ditemukan selamat

PUTRAJAYA, 17 DIS: Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiga warga Singapura ditemukan selamat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi Jumaat.

Kementerian dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan kerajaan Malaysia bertindak pantas dalam memastikan semua yang terjejas akibat tragedi itu diberi bantuan segera.

“Marilah kita semua berdoa untuk keselamatan mangsa yang terjejas dan mereka yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden tragis berkenaan.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat melibatkan 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan.

Setakat malam Jumaat, 12 orang dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :