Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-26 ditemukan pada hari keenam operasi SAR

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari keenam, menemukan satu mayat lelaki dewasa pada 11.16 pagi semalam di sektor B (Kem Farmview).

Penemuan mayat lelaki berkenaan menjadikan jumlah kematian akibat tragedi itu kini adalah 26 orang.

Lelaki berkenaan ditemukan pada kedalaman kira-kira satu setengah meter dalam keadaan berpelukan bersama seekor anjing di sektor berkenaan.

Turut ditemukan seekor lagi anjing berhampiran kawasan itu dan bangkai kedua-dua ekor anjing berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang adalah tujuh, manakala 61 selamat, daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas.

Operasi semalam terus dipergiatkan dengan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 iaitu seorang kanak-kanak perempuan kelmarin yang dijumpai pada kedalaman “luar jangkaan” iaitu kira-kira 17 meter di sektor C (Riverside).

Empat alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) (radar menembusi tanah) yang kali pertama digunakan untuk mengesan jasad manusia dalam kes tanah runtuh di Malaysia, turut dibawa ke lokasi tragedi di sini bagi membantu operasi.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berdasarkan input daripada Geoventure Solution Sdn Bhd dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), ketepatan GPR bagaimanapun dipengaruhi permukaan tidak rata dan tidak stabil serta tanah lembap dan keadaan itu boleh menyebabkan cerapan data alat canggih itu kurang tepat.

Selain itu, laungan azan juga merupakan antara ikhtiar baharu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum memulakan operasi bagi mengesan tujuh lagi mangsa insiden tanah runtuh.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis sedang dalam proses memadankan data mangsa yang masih hilang dalam tragedi itu dengan laporan polis yang dibuat ahli keluarga dan waris dan yakin akan ada waris yang tampil ke balai polis untuk melaporkan terdapat ahli keluarga tidak dapat dikesan dan dipercayai hilang.

Operasi semalam bagaimana pun sedikit terjejas apabila terpaksa ditangguhkan sementara sejak 4 petang susulan hujan lebat sebelum keseluruhan operasi ditangguhkan sepenuhnya pada pukul 10 malam atas faktor keselamatan selain faktor cuaca dan akan disambung semula pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :