Anggota bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam giat menjalankan proses mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanah runtuh: Negeri kerah bomba, PBT bantu proses cari, rawat mangsa

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri mengerah anggota dan aset bomba, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan ke lokasi tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali untuk membantu proses menyelamat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan proses mencari dan menyelamat (SAR) giat dilaksanakan ketika ini dan mangsa yang ditemui diberi rawatan serta perhatian oleh petugas.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar para petugas dan mangsa yang masih terperangkap diselamatkan dan dipelihara dari sebarang musibah,” katanya di Facebook hari ini.

Sementara itu, Bernama yang memetik kenyataan polis mengesahkan seorang kanak-kanak maut dalam kejadian di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, awal pagi tadi.

“Seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia dipercayai mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, awal pagi,” menurut kenyataan itu.

Bomba Selangor dalam kenyataan di Facebook memaklumkan sejumlah 79 mangsa berada di lokasi terbabit dengan dua disahkan meninggal dunia manakala 23 lagi selamat.

“Tiga mangsa cedera dan 51 orang masih tidak ditemui. Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan pihak bomba dibantu bersama agensi lain,” katanya.

Berdasarkan muat naik sama, pihak bomba memaklumkan kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran Father’s Organic Farm dan menghempap tapak perkhemahan berdekatan jalan berkenaan.

Runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan keluasan runtuhan sebesar tiga ekar.


Pengarang :