Anggota bomba membawa keluar mayat kanak-kanak perempuan yang ditemukan di di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanah runtuh: Satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemukan

BATANG KALI, 17 DIS: Seorang lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan menjadikan jumlah yang maut setakat ini seramai 24 orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mayat kanak-kanak yang belum dikenal pasti umurnya itu ditemukan di kawasan pencarian Hillview (sektor A) pada 4.05 petang tadi.

“Mayat itu akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini.

Setakat ini tujuh kanak-kanak disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh tersebut.

Sementara itu, Acryl Sani berkata pengusaha tapak perkhemahan yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, kini dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

“Seperti kita setuju tempoh hari, apabila kesemua mangsa sudah ditemukan, siasatan akan segera dijalankan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada siasatan yang dibuat ketika ini.

“Untuk makluman, saya telah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Baharudin Mat Taib untuk mengetuai siasatan berkaitan insiden ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama yang berada di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca di sini mendung.

– BERNAMA


Pengarang :