Kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik termasuk komersial dan industri di Semenanjung Malaysia dikekalkan untuk tempoh kawal selia mulai 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tarif elektrik pengguna domestik kekal, syarikat besar alami kenaikan

SHAH ALAM, 20 DIS: Kerajaan bertegas untuk mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna mengambil kira kenaikan kos sara hidup yang dialami ketika ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan hanya dikenakan kepada pengeluar syarikat gergasi yang meraih keuntungan berbilion.

“Keputusan menaikkan tarif elektrik, kertas kerja dibuat jemaah menteri (sebelum ini). Namun, ia bertentangan dengan dasar. Bagaimana rakyat terbeban dengan kos sara hidup dan kita naikkan tarif?

“Kita akui daripada segi ekonomi satu keperluan kerana kerajaan bayar RM30 bilion setahun dan bagi suku pertama RM10 bilion, namun apabila diteliti semula, kita tidak sanggup teruskan,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 14 Disember, perdana menteri menegaskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik, industri kecil dan sederhana, syarikat berasaskan pertanian serta pengeluar makanan.

Bagaimanapun, ahli parlimen Tambun itu berkata kerajaan akan menyemak tarif elektrik membabitkan syarikat multinasional yang mengeksport produk ke luar negara.

 


Pengarang :