Pengujung memilih buku ketika hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 di Pusat Konvesyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tawaran diskaun, banyak pilihan tarik pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 1 DIS: Tawaran diskaun dan banyak pilihan buku menjadi tarikan pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang berlangsung selama 11 hari di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula hari ini.

Menurut Muhd Luqman Hakim Noorhisham, 21, dari Klang, beliau datang setiap kali pesta buku diadakan untuk mendapatkan koleksi novel dan komik diminati dengan harga murah.

Muhd Luqman Hakim Noor Hisham. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sudah banyak kali saya pergi pesta buku termasuk di negeri lain kerana dapat beli buku kegemaran dengan tawaran diskaun menarik.

“Saya memang kumpul novel dan komik fiksyen sejak sekolah dan di pesta buku saya boleh cari koleksi baharu dan lama,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, penulis buku akademik Mohd Yatim Dolir, 70, pula memberitahu beliau datang ke pesta itu untuk melihat pelbagai jenis buku dipamerkan.

Mohd Yatim Dolir. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya juga pernah jadi pempamer. Saya suka melihat kemeriahan pesta buku terutama di Pesta Buku Selangor. Setiap tahun ada peningkatan dan kali ini melibatkan peserta antarabangsa.

“Jumlah pempamer juga meningkat tahun ini dan menjadikan ia lebih meriah,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Irdina Safiah Daeni Arman, 15, berkata beliau hadir kerana boleh membeli pelbagai judul novel dengan harga lebih murah.

“Lepas habis kelas saya terus datang untuk membeli novel. Hari ini saya bercadang beli tiga kerana di sini ada banyak pilihan,” katanya yang telah mengumpul lebih 20 novel setakat ini.


Pengarang :