Seorang pengguna kelihatan memilih telur ayam ketika mengunjung MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, Putrajaya pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Telur lulus ujian penyakit, import untuk pastikan bekalan stabil

PUTRAJAYA, 16 DIS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam dari sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

Dalam kenyataan hari ini, MAFS memaklumkan bagi menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lepas, pihaknya membenarkan kemasukan telur ayam dari India hari ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.

“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas daripada segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.

Menurut MAFS, hasil ujian yang dilaksanakan oleh Maqis dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas daripada segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Isu harga dan ketiadaan telur di pasaran telah menjadi isu yang dihadapi oleh rakyat negara ini.

Semalam, Bernama melaporkan bekalan telur ayam di pasar raya dan kedai runcit di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing berikutan banyak pihak, termasuk pengguna dan peniaga mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalannya ketika ini.

Pada 6 Disember lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan bersetuju mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.

– BERNAMA


Pengarang :