Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan Anugerah Hadiah Buku Inovasi MTDC Doktor Falsafah (Pengangkutan dan Logistik) kepada Dr Anis Mardiana Abdullah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM pada 26 Nov 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tengku Permaisuri Selangor mahu UiTM jadi institusi terkemuka dunia

Pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) itu untuk terus unggul di negara ini.

Keyakinan tersebut dinyatakan Yang di-Pertuan Agong DYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya ketika mewasalkan majlis bersempena istiadat konvokesyen UiTM ke-93 pada 14 Jun.

Lanjutan pemasyhuran berkuat kuasa antara 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024, Tengku Permaisuri Norashikin berhasrat untuk mengangkat universiti terbesar tanah air menjadi institusi terkemuka dunia pada 2025.

“Saya akan bersama-sama UiTM untuk memberi komitmen dan kerjasama agar cita-cita ini dapat dicapai pada 2025 nanti,” titah Baginda selepas menyempurnakan penyampaian ijazah doktor falsafah, sarjana dan sarjana muda.

Tengku Permaisuri turut memuji usaha UiTM sebagai kampus lestari melalui Pusat Hijau UiTM dan Institut Pembangunan Mampan dan Biodiversiti menerusi pelbagai langkah termasuk projek solar dan penanaman pokok.

Tengku Permaisuri Norashikin (depan tengah) bersama wakil pelajar asnaf fakir dan miskin yang menerima sumbangan tablet di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 5 Oktober 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office

Baginda juga bangga kerana universiti itu menduduki tempat ke-150 terbaik dunia daripada 956 IPT yang disenarai U.I. Green-Metric World University Rankings 2021 selain tangga kesembilan daripada 28 universiti di Malaysia.

Kepada graduan, Baginda menekankan kepentingan supaya terus bersatu padu dalam memelihara kedaulatan tanah air dan tidak membiarkan negara dalam keadaan porak-peranda, kacau-bilau lalu hilang segala-galanya.

“Jika kita tidak bersatu, kita tidak akan mampu mempertahankan negara kita ini daripada pelbagai bentuk ancaman yang datang daripada pihak yang mahu melihat negara kita ini jatuh dan hancur,” titah Baginda.

Baginda juga percaya teknologi tinggi dan pertumbuhan berasaskan digital antara penyelesaian isu pengangguran, kebolehpasaran siswazah dan pembangunan bakat sekali gus melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.

Pentingkan warisan

Tengku Permaisuri Norashikin juga seorang yang mementingkan usaha mengekalkan nilai-nilai tradisi. Baginda berharap kepelbagaian budaya dan warisan negeri dipelihara dan disubur agar tidak hilang ditelan zaman.

Justeru, Baginda berkenan melancarkan tujuh buku terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda pada 8 Ogos.

Buku itu ialah Kesenian Telepuk Warisan Melayu Selangor; Penyelidikan Terkini Nisan Aceh di Selangor dan Warisan Telepuk Alam Melayu, ketiga-tiganya karya Intan Salina Idrus.

Selain itu, naskhah lain berjudul Kebaya Selangor tulisan Rohayu Mohd Yunus; Permainan Wau Kapal (Abdullah Anas Abu Bakar), Sulaman Kelingkan Melayu (Mohd Subli Musa) dan Tarian Piring Selangor (Mohd Lotfi Nazar).

Baginda juga menegaskan tradisi dan warisan elemen penting dalam membentuk jati diri sekali gus menjadi identiti sesebuah bangsa.

Tengku Permaisuri Selangor, Norashikin ketika Program Prihatin Kembali Ke Sekolah pada 19 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Menjadi harapan saya agar kekayaan budaya, tradisi dan warisan yang dimiliki masyarakat majmuk di Selangor dapat dijadikan sebagai wadah yang memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat,” titah Baginda lagi.

Prihatin OKU

Memiliki sifat prihatin terhadap orang kurang upaya (OKU), Tengku Permaisuri Norashikin adalah penaung Persatuan Untuk Orang Kelainan Upaya Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan (SAMH).

Baginda terlibat dalam program amal antaranya Jualan Amal Makanan dan Pesta Ria pada 25 September yang meraih kutipan RM200,000 bagi membiayai keperluan kanak-kanak OKU akal selain membina kemudahan sekolah.

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam akan kepentingan mengesan penyakit barah lebih awal.

Pada 30 Oktober, Baginda berkenan melancarkan Program Unit Bergerak Membawa Maklumat ke Seluruh Negara (MURNI) kendalian Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Program itu bertujuan membantu meningkatkan kesedaran barah kepada penghidap, keluarga dan masyarakat serta mengenai kepentingan menjaga kesihatan.


Pengarang :