Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirurudin Shari (lima, kanan) menyerahkan cek cura kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (lima, kiri) ketika kunjungan hormat ke kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu pada 30 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Terengganu hargai Selangor, tumpu bantu mangsa bah terjejas teruk

KUALA TERENGGANU, 30 DIS: Kerajaan Terengganu akan mengagihkan sepenuhnya bantuan RM500,000 yang diterima daripada Kerajaan Selangor kepada mangsa bah di negeri itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keutamaan diberikan kepada mangsa yang terjejas teruk untuk meringankan beban mereka akibat musibah itu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang amat baik hati memberi sumbangan. Kita akan melihat keutamaan terlebih dahulu, mungkin dibelanja terus kepada mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima cek cura RM500,000 daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook, Ahmad Samsuri berbesar hati dengan kehadiran Amirudin dan berharap kebaikan tersebut diberi ganjaran pahala berpanjangan oleh Allah SWT.

Beliau memaklumkan hanya 50 individu masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Besut, manakala mangsa banjir di tujuh daerah lain dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Mereka yang masih berada di PPS kerana kediaman terjejas teruk. Kerajaan Terengganu dan majlis agama Islam membantu menyediakan tempat tinggal sementara menggunakan dana kerajaan,” katanya.

Selasa lalu, Amirudin menyampaikan sumbangan sama kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebagai tanda kebersamaan dan simpati terhadap nasib yang menimpa penduduk negeri itu.

Pada 20 Disember, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Selangor menghulur sumbangan RM1 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.


Pengarang :