Pembantu Akaun dan Tadbir Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Nur Rasyidah Azhar menunjukkan tiga buku terlaris terbitan syarikat itu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Terjemahan buku agama terbitan IBDE laris di pesta buku negeri

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 8 DIS: Tiga buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menjadi pilihan utama pengunjung di reruai itu sejak hari pertama penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.

Karya itu ialah Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya oleh Hamza Yusuf serta Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal oleh Martin Lings.

Menurut pengurus jualan dan pemasaran IBDE, buku Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat karya Michael Pillsbury turut digemari ramai.

“Setakat ini, lebih 370 naskhah (ketiga-tiga buku) terjual dengan jumlah lebih RM22,000. Karya ini juga antara yang mendapat sambutan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ini.

“Mereka memang mencari buku berkenaan selepas dapat tahu daripada pelbagai platform seperti media sosial. Ada juga yang tertarik apabila diterangkan oleh staf,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman ketika ditemui.

IBDE yang menerima geran daripada Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre termasuk sejarah, falsafah dan agama, malah sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

SIBF 2022 diadakan sejak 1 Disember lalu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berakhir Ahad ini dengan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 11 hari berlangsung.


Pengarang :