AGENDANASIONAL

Tiada kebenaran perhimpunan solidariti di pintu Parlimen Isnin depan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Polis tidak pernah memberi kebenaran kepada penganjur perhimpunan Solidariti Tuntutan Bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 yang dirancang diadakan di pintu masuk Parlimen, Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan bagi mengadakan sebarang perhimpunan solidariti sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang. Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata polis mengesan satu poster yang dimuat naik di media sosial oleh pemilik akaun Facebook Azmie Bugis-AB, yang menggesa orang ramai turun menyokong solidariti dan perhimpunan itu yang akan diadakan pada 7.30 pagi.

“Sekiranya perhimpunan itu tetap diadakan, polis akan memanggil penganjur untuk diambil keterangan dan melakukan tindakan susulan,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :