Suasana di pusat penempatan sementara (PPS) Masjid Kampung Johan Setia ketika tinjauan berkenaan bencana banjir yang melanda beberapa buah kawasan di Selangor pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tiada kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir sejak 19 November

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Tiada kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tempoh 19 Nov lepas hingga kini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata 14 kes Covid-19 dikesan bagi tempoh 11 hingga 18 Nov dan kesemua mereka telah tamat menjalani isolasi serta pulang ke rumah masing-masing.

“Kes penyakit berjangkit mula dipantau sejak 11 Nov apabila beberapa episod banjir berlaku. Secara kumulatif, sebanyak 12 kes acute gastroentritis (AGE), 207 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), lapan (8) kes konjuntivitis, 134 kes jangkitan kulit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

“Tiada kes tifoid, kolera, leptospirosis penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini

Sehingga 9 pagi ini, 29 PPS dibuka di lima negeri yang dilanda banjir membabitkan lima PPS di Kelantan, Terengganu (11), Pahang (11), Perak (1) dan Johor (1).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata bilangan kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-49 tahun ini menurun 24.9 peratus iaitu daripada 14,558 kes kepada 10,937 kes bagi tempoh 4 hingga 10 Dis.

Beliau berkata daripada jumlah itu kes tempatan berkurangan 24.9 peratus kepada 10,923 kes berbanding 14,543 kes dan kes import turun daripada 15 kes kepada 14 kes, manakala bilangan kes kematian pada ME ke-49 menurun 30.6 peratus daripada 62 kes kepada 43 kes.

KKM juga memaklumkan nilai RT pada minggu berkenaan adalah 0.86 bagi seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :