AGENDAJENAYAH

Tiga warga asing ditahan babit kes eksploitasi seks

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Seorang lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Tanzania ditahan polis semalam, disyaki terlibat kes eksploitasi seks warga asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketiga-tiganya yang berusia antara 28 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, di sini, pada 12.45 tengah malam.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang mangsa wanita warga Tanzania pada Rabu lepas yang melarikan diri daripada kenalan senegaranya kerana ditipu dengan dijanjikan bekerja di sebuah pusat kecantikan di negara ini.

“Pengadu membuat laporan kerana mendakwa telah dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks kepada lelaki warga asing selain ingin mendapatkan semula pasport miliknya yang tertinggal semasa melarikan diri serta mahu merujuk ke pihak kedutaan dan pulang ke negara asalnya.

“Semasa serbuan, polis merampas beberapa telefon bimbit milik kesemua suspek dan pemeriksaan telefon bimbit suspek utama mendapati terdapat gambar mangsa serta gambar pasport milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati ketiga-tiga suspek berada di Malaysia menggunakan visa sebagai pelajar.

“Suspek lelaki memiliki pasport manakala dua wanita berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ujian saringan awal dadah mendapati kedua-dua wanita positif dadah dan kesemua suspek direman hingga Khamis depan bagi siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :