Barisan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan (duduk dari kanan) Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib menandatangani Surat Cara Pelantikan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri Persekutuan di Istana Negara pada 10 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Timbalan menteri rangka perancangan, tekad tunai amanah

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Barisan Timbalan Menteri yang baru dilantik bersedia menggunakan pengalaman sendiri dalam membantu kementerian masing-masing.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau akan menggunakan pengalaman berkhidmat di tiga kementerian sebelum ini termasuk Kementerian Kewangan untuk membantu rakyat dan negara.

“Mudah-mudahan pengalaman itu dapat membantu saya untuk menjalankan tugas seterusnya, bagi membantu Kementerian Kewangan dalam melakukan perkara yang penting di perbendaharaan negara, tentunya hasrat saya untuk mengikuti dasar Kerajaan Perpaduan dengan cara terbaik.

“Jawatan adalah amanah yang mesti ditunaikan, jawatan bukanlah satu penghormatan yang disombongkan tetapi amanah yang wajib ditunaikan dan saya akan melaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya selepas selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Memegang jawatan yang sama, Steven Sim Chee Keong akan menggunakan ilmu yang dipelajari semasa mengikuti Ijazah Sarjana Pembangunan Mampan sebelum ini, dalam memberi perkhidmatan terbaik di Kementerian Kewangan.

“Ini juga peluang untuk saya berkhidmat dengan tokoh yang berpengalaman iaitu Perdana Menteri sendiri serta Datuk Seri Ahmad Maslan yang dulu seteru dalam politik, sekarang kami menjunjung titah dan lupakan sengketa lama dan beliau juga pernah berkhidmat dalam MOF,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong, berhasrat membantu negara selaras dengan portfolio yang dipegangnya dan berusaha untuk menambah pekerjaan dalam negara serta menyediakan gaji yang berpatutan untuk negara.

Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula meluahkan rasa syukur, selepas diberikan kepercayaan dan amanah untuk turut serta dalam mentadbir Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata jawatan yang disandang itu amat ‘berat’, kerana pengharapan rakyat dalam melihat kerajaan ini berusaha keras amat tinggi.

“Saya memohon supaya kita (kerajaan) berusaha bersama-sama dan berilah peluang supaya kita dapat melakukan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Berkongsi reaksi sama, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni pula berkata antara isu yang akan diutamakan adalah isu kesihatan rakyat pasca pandemik COVID-19 dan akan memperhalusi dasar dan polisi kementerian itu.

“Saya juga akan mendengar pendapat warga kerja Kementerian Kesihatan daripada kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi. Saya juga akan mengambil pendapat rakan-rakan dalam parlimen dan saya akan gunakan untuk keputusan yang baik untuk kesihatan umum,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata negara memerlukan polisi baharu dalam mengurangkan isu pengangguran yang kian meningkat, khususnya dari golongan graduan dan anak muda.

“Isu ini mungkin cabaran besar yang perlu kita (kementeriannya) hadapi. Saya sebagai orang baharu akan cuba sedaya buat sesi keterlibatan bersama Kementerian Sumber Manusia dan akan merangka satu perancangan baharu terhadap sumber manusia di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Adam Adli Abd Halim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) berkata dalam mendepani cabaran hari ini, kementeriannya akan turut memberi perhatian terhadap peranan politik dan demokrasi.

“Saya teruja untuk berkhidmat bersama Hannah Yeoh (Menteri KBS), saya harap kita dapat gerak sama-sama untuk mencapai prestasi yang baik.

“Kita bercakap bukan sahaja prestasi KBS tetapi prestasi masyarakat belia dan sukan itu sendiri, yang sesuai dengan aspirasi terkini yang merakyatkan sukan dan sebagainya.

– BERNAMA


Pengarang :