Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kinrara di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, Puchong pada 19 Disember 2022.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tingkat kuasa beli, jualan murah negeri bantu jimat belanja dapur RM200 sebulan

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA, 19 DIS: Orang ramai berpendapat program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) membantu meningkatkan kuasa beli pengguna yang terkesan akibat kenaikan harga barang ketika ini.

Ashok Subramaniam. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Pesara Ashok Subramaniam, 56, berkata beliau sanggup beratur seawal 8 pagi untuk merebut tawaran harga murah sempena program itu.

“Barangan dapur yang ditawarkan memang murah berbanding pasaran. Dengan RM65, saya boleh beli dua ekor ayam, sepapan telur, sekampit beras dan sebotol minyak masak.

“Program ini bantu tingkatkan kuasa beli pengguna kerana boleh dapatkan pelbagai barangan berbanding beli di pasar raya biasa yang harga barangan mahal. Jadi pemilihan barang amat terhad bergantung keadaan kewangan,” katanya.

Nur Fatihah Pijahati. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Bagi Nur Fatihah Pijahati, harga barangan yang ditawarkan membantunya berjimat sehingga 50 peratus perbelanjaan bulanan.

Suri rumah itu berkata barangan yang dijual murah berbanding pasaran menyebabkan sanggup beratur hampir satu jam biarpun terpaksa mengendong bayi berusia tujuh bulan.

“Ini kali kedua saya beli barang dapur di program JER. Memang berbaloi untuk saya yang ada ramai anak. Anak-anak semua sedang membesar jadi memang kuat makan.

“Sepapan telur hanya untuk seminggu. Di sini 30 biji telur berharga RM10. Ayam seekor juga RM10 dapat beli dua ekor jadi bila beli di sini saya dapat jimat sehingga RM200 sebulan atau 50 peratus perbelanjaan bulanan,” katanya.

Angie Ng. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Sementara Angie Ng, 59, berkata beliau tidak kisah beratur seawal 8 pagi kerana harga barangan yang murah membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga.

“Di sini walaupun harga murah, namun barangan segar dan berkualiti. Saya sudah beberapa kali datang beli, memang berpuas hati bukan sahaja barangan dijual segar malah kualiti barang setanding pasar raya besar,” ujar suri rumah itu.

Pada 13 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklum peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program itu selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Beliau menjelaskan jelajah siri kedua yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.


Pengarang :