DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bersalaman dengan para kakitangan agama ketika berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Shah, Jalan Templer, Petaling Jaya pada 31 Mei 2019. Foto HAFIZ OTHMAN
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Titah jadi pedoman buat rakyat, peringatan kepada pemimpin

Artikel ini disiarkan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ke-77 pada 11 Disember 2022.

Rencana berkaitan Tuanku Sultan, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah akan disiarkan secara berperingkat mulai 9 Disember.


Sepanjang 2022, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan beberapa keputusan penting demi kemaslahatan umat Islam dan rakyat Selangor umumnya.

Selain penetapan beberapa perkara, Baginda turut prihatin dengan keperluan semasa dengan membuat teguran dalam beberapa isu membabitkan perpaduan, integriti dan keadilan.

Baginda juga berkenan menerima pelantikan beberapa jawatan antaranya Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Wartawan, NAZLI IBRAHIM mengimbau kembali beberapa titah dan pelantikan sama ada pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.
__________________________________________________________________________________________________________

Bagi memastikan kemuliaan darjah kebesaran negeri Selangor, pada 12 September, Sultan Sharafuddin menitahkan untuk menarik balik darjah kebesaran daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras kuasa prerogatif Baginda bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta statut darjah kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor.

Penarikan ini dibuat ekoran keputusan mahkamah mengekalkan hukuman terhadap Najib bersabit tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Rosmah pula didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan projek solar di sekolah-sekolah Sarawak.

Baginda turut menarik semula darjah kebesaran bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Arif Ab Rahman selepas sabitan pertuduhan rasuah.

Tegas

Sultan Sharafuddin memang diketahui sebagai raja pemerintah yang cukup tegas dengan pendiriannya yang tidak mahu institusi masjid dan surau dipolitikkan demi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan ummah.

Selaras itu, Baginda bertitah tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik mulai 1 Januari 2022.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan pada 28 Disember 2021 berkata Baginda tegas supaya agama Islam tidak dipolitikkan mana-mana pihak khususnya di masjid dan surau.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis perasmian Masjid Ar-Raudhah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun, ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang memegang portfolio agama Islam boleh menyampaikan pengajaran agama Islam, dengan syarat tidak menyentuh hal berkaitan politik.

Cakna dengan isu integriti yang membelenggu pimpinan politik masa kini, Sultan Sharafuddin pada 21 Oktober mengingatkan pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia, akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin memetik khutbah Jumaat pada hari berkenaan dan menegaskan pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri, pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.

“Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah, akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah, yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda.

Prihatin dengan isu yang boleh merosakkan sistem keadilan negara, Sultan Sharafuddin menitahkan semua pihak hendaklah memelihara nama baik badan kehakiman supaya tidak dicemari pengaruh dan tekanan.

Titah Baginda, pihak eksekutif perlu mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak cubaan mempengaruhi proses pentadbiran keadilan.

“Pepatah ada menyatakan apabila seseorang hakim membuat keputusan, ia hendaklah diputuskan atas dasar “without fear or favour” (tanpa rasa takut atau pilih kasih),” titah Baginda ketika merasmikan Port Klang Cruise Terminal, Pelabuhan Klang pada 5 September 2022.

DYMM Sultan Selangor juga menegur bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang menyarankan umat Islam supaya tidak hadir program kebudayaan Jepun, Bon Odori atas alasan dikatakan mengandungi unsur agama lain.

Pada 9 Jun, Baginda menitahkan Idris untuk hadir ke program Bon Odori supaya memahami perbezaan antara agama dan budaya. Baginda juga tidak mahu mantan menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan mengelirukan dan tidak tepat.

Titah Sultan Sharafuddin, perbuatan itu juga boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan kerajaan persekutuan berkenaan.

Pelantikan

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-258 berkenan memilih Sultan Sharafuddin sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk tempoh dua tahun.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada 12 Mac, mesyuarat itu membuat ketetapan bahawa salah seorang raja pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab pengerusi bagi tempoh dua tahun secara bergilir-gilir, sementara perdana menteri pula dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengaminkan bacaan doa olehTimbalan Mufti Selangor Sahibus Samahah Prof Madya Dr Miszairi Sitris sempena Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 6 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Syed Danial berkata keputusan ini bertepatan berikutan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa raja-raja pemerintah.

Sehubungan dengan peranan baharu yang dipegang Baginda, Sultan Sharafuddin berkenan melantik bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadut sebagai pengerusi Jawatankuasa MKI berkuat kuasa 30 Jun 2022 hingga 29 Jun 2024.

Menerusi kenyataan istana pada 15 Ogos 2022, Baginda berkenan mengurniakan watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan dan menyaksikan majlis serah tugas daripada mantan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang juga mufti Perak.

Pada 17 Ogos, Baginda mengurniakan watikah pelantikan pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) kepada mantan Ketua Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datin Paduka Zaharah Ibrahim yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pelantikan itu berkuat kuasa 30 Jun 2022 hingga 29 Jun 2024 diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-259.

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan di bawah MKI yang baharu.

Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Sultan Sharafuddin berkuatkuasa 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024.

Majlis penyampaian watikah itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan yang turut disaksikan Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Professor Dato’ Dr Wan Kamal Mujani pada 21 Ogos.

Tegah Jakim

Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, Sultan Sharafuddin bertitah menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada hak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan (MKI).

Titah Baginda, kenyataan adalah di bawah bidang kuasa pengerusi jawatankuasa berkenaan dan Majlis Raja-Raja.

“Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Jakim hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah Baginda dalam kenyataan 9 April lalu.

Pada 6 Oktober, Sultan Sharafuddin sekali lagi menitahkan supaya sebarang kenyataan berhubung keputusan MKI hanya boleh dibuat pengerusi muzakarah bagi menjamin integriti dan kepercayaan rakyat terhadap jawatankuasa berkenaan.

“Ini penting untuk memastikan agar keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur-unsur politik kepartian,” titah Baginda.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyerahkan watikah perlantikan anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sesi 2021-2023 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Shahzihan Ahmad di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 26 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada 26 September, Sultan Sharafuddin berkenan menyerahkan 19 watikah pelantikan pelbagai jawatan kepada tiga agensi negeri di Istana Bukit Kayangan.

Pelantikan itu selaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003) melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Jabatan Mufti Selangor.

DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik semula Sultan Sharafuddin sebagai canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkuat kuasa 1 April 2022 hingga 31 Mac 2029.

Naib Canselor UPM Prof Dato’ Dr Mohd Roslan Sulaiman mempersembah watikah lantikan semula di Istana Bukit Kayangan pada 5 Jun 2022. Baginda menjawat jawatan sebagai canselor UPM sejak 2002 sehingga kini.

Covid-19

Berikutan langkah Majlis Keselamatan Negara melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) kawalan Covid-19 secara berperingkat, Sultan Sharafuddin pada 18 Januari 2022 menitahkan ruang solat dan ruang limpah dibenarkan sepenuhnya bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Baginda turut berkenan membenarkan penetapan jarak satu meter antara jemaah.

Ketetapan ini meningkatkan kapasiti jemaah solat Jumaat sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir Jais pada November 2021.

Pada 1 April, Baginda berkenan supaya solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri ini merapatkan saf.

Ketetapan pada 27 Mac itu dibuat selepas Baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan Dewan di-Raja Selangor.

Petugas MBSA memasang papan tanda jalan baharu Persiaran Tun Arshad Ayub di Seksyen 1, Shah Alam pada 28 Jun 2022. Foto MBSA

Sebagai raja pemerintah yang sering menghargai jasa tokoh negara, DYMM Sultan Selangor sudah beberapa kali menitahkan nama tokoh diabadikan di jalan-jalan negeri ini. Tahun ini, nama pengarah pertama Institut Teknologi Mara Tun Arshad Ayub diabadikan di salah sebuah jalan di Seksyen 1, Shah Alam.

Menurut Selangor Royal Office pada 23 Jun, pertukaran nama itu dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam serta-merta susulan titah Sultan Sharafuddin.

“Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 iaitu di hadapan pintu masuk utama UiTM hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor di Seksyen 7, Shah Alam,” menurut kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.


Pengarang :