Tourism Selangor giat mempromosikan produk pelancongan negeri kepada pemain industri pelancongan Vietnam ketika lawatan kerja ke negara itu pada 18 hingga 23 Disember 2022. Foto Tourism Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tourism Selangor-Vietnam perkukuh hubungan, misi pikat lebih ramai pelancong

SHAH ALAM, 28 DIS: Tourism Selangor memperkukuh hubungan dua hala dengan pemain industri pelancongan Vietnam bagi melonjakkan negeri ini sebagai destinasi tumpuan di rantau Asia.

EXCO pelancongan berkata pelbagai segmen pasaran pelancongan Selangor dipamerkan di negara terbabit meliputi eko-pelancongan, taman tema, budaya dan warisan, pusat beli-belah serta aktiviti riadah.

Menurut Hee Loy Sian, kempen Splendid Selangor, Take Me Anywhere! turut dipromosikan semasa lawatan kerja ke Vietnam pada 18 hingga 23 Disember lalu.

“Tourism Selangor bersedia memanfaatkan kerjasama dengan pengusaha dan pemain industri sambil meningkatkan misi Selangor menjadi destinasi pelancongan terkemuka di rantau Asia,” katanya dalam kenyataan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (empat, kiri) bersama delegasi Selangor ketika kunjungan hormat ke Persatuan Pelancongan Vietnam semasa lawatan kerja ke negara itu pada 18 hingga 23 Disember 2022. Foto Tourism Selangor

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Selangor menerima aliran masuk pelancong dari Vietnam seramai 6,608 pada tahun lalu, lebih rendah berbanding 27,075 sebelum pandemik Covid-19.

“Menuju 2023, ini merupakan masa sesuai untuk Selangor meneruskan usaha ketika sebelum pandemik. Dengan larangan perjalanan yang ditarik semula, pelancong mempunyai perjalanan lebih lancar ke negara ini.

“Tambahan lagi, lokasi Selangor strategik dan terhubung antara satu sama lain membolehkan pelancong melancong di mana-mana kawasan dengan mudah melalui pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2, Lapangan Terbang Subang dan Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang,” katanya.


Pengarang :