Keadaan trafik di Persiaran Puncak Jalil sesak susulan pelaksanaan kerja penanaman paip bagi projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2. Foto Facebook Ng Sze Han
ADNSELANGOR

Trafik sesak: Penduduk Taman Puncak Jalil diminta bersabar, kerja tanam paip hampir siap

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

PETALING JAYA, 15 DIS: Penduduk sekitar Taman Puncak Jalil diminta bersabar dengan kesesakan lalu lintas di Persiaran Puncak Jalil, Seri Kembangan susulan pelaksanaan kerja penanaman paip bagi projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara berkata beliau dimaklumkan oleh kontraktor bertanggungjawab, kerja-kerja berkenaan dijangka selesai sebelum 25 Disember ini.

“Saya memohon sedikit kesabaran daripada penduduk di kawasan ini. Pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pejabat saya akan terus memantau dan kita cuba minta kontraktor ini supaya dapat selesaikan projek secepat mungkin.

“Ia adalah projek yang sangat penting untuk pastikan kawasan ini khususnya Puncak Jalil, Equine dan Bandar Kinrara menerima bekalan air terawat yang mencukupi pada masa depan,” kata Ng Sze Han.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Tempatan ditemui selepas meninjau perjalanan program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara di Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerja penanaman paip sepanjang 40 meter itu mengalami sedikit kesukaran berikutan terdapat banyak utiliti lain bawah permukaan jalan raya yang perlu dibuat secara teliti.

“Saya sudah meninjau keadaan trafik di sana yang paling sesak pada jam 5.30 hingga 6 petang, walaupun ada mencadangkan untuk dibuat laluan kontra ia tidak bersesuaian kerana hasil pemantauan dan kajian ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan dalam kawasan taman perumahan sekitar,” katanya.


Pengarang :