BUDAYARENCANA

Tragedi si tukang urut

Oleh Adam Taufiq Suharto

Jam menunjukkan pukol 5.00 pagi. Ayam mula berkokok. Seperti biasa, Wak Ndasmu akan bangun. Pertama, untuk solat Subuh. Kedua, menikmati teh panas dan sarapan airtangan isteri ketiganya yang masih muda belia seusia anak bongsunya. Namun, pagi itu, lain sikit perasaannya. Seawal menguap, Wak Ndasmu tak terasa mulutnya ditutup dengan tangan saat mulutnya terngaga besar. Tapi itu sebenarnya dia masih mamai. Bangun dari katil, di saat dia mahu menyapu muka, dia terkejut beruk apabila dia mendapati kedua-dua tangannya telah tiada! Dia tiba-tiba kudung pada subuh sapi’i itu! Tanpa ditetak, tanpa luka, tanpa darah. Dia menjerit! Terkejut! Marah!

“Tangannnn kuweee!!”

Wak Ndasmu tukang urut masyhur. Yang selalu bertandang untuk diurut olehnya bukan calang-calang. Dari yang berhormat-yang berhomat, sampailah kepada yang mulia-yang mulia. Pernah beberapa kali mukanya masuk surat khabar kerana urutannya telah diibaratkan oleh seorang yang berhormat sebagai ‘urutan senikmat syurga’. Urutan Wak Ndasmu digembar-gembur boleh memulihkan sakit-sakit yang tak tersembuh sebelumnya. Yang sakit-sakit kaki tak boleh berjalan, jadi boleh berjalan-berlari rono-rene. Yang kepalanya teleng, jadi lurus balik. Yang tak mampu berdiri, jadi berdiri balik. Yang tak kuat, jadi kuat balik. Dialah tukang urut masyhur dari Kampung Seng Orak-Orak. Setiap pagi, seawal kala tahajjud, sudah berderet-deret pelanggan berbaris menanti giliran untuk diurut. ‘Kami berbaris sepanjang malam, untuk sihat sepanjang hayat’, kata salah seorang pelangganya sebagai testimoni.

Pagi itu, untuk pertama kali dalam hidupnya dia meminta Isteri ketiganya yang masih muda belia seusia anak bongsunya untuk menyuruh pelanggan-pelanggan yang datang berbaris panjang seawal kala tahajjud supaya lekas pulang. ‘Wak tak berapa sihat hari ini’, kata isteri ketiga Wak Ndasmu yang muda belia seusia anak bongsunya. Seharian Wak Ndasmu meratap tangis kehilangan kedua-dua tangannya. ‘Oh Tuhan, apa dosa aku ni?’ Macam-macam yang mula difikirkannya. Bagaimana dia hendak memelihara tiga orang bininya nanti kalau dia sudah tidak boleh mengurut? Bagaimana dia hendak memberi makan-pakai kepada anak-anaknya yang sekarang keseluruhannya 14 orang? Apakah dia harus menjual tanah pusaka yang diwariskan mbah-nya dahulu? Apakah dia harus mengeluarkan kesemua wang KWSP-nya? Dan yang turut berlegar di benak akalnya, (si)apakah yang menjadi punca kekudungan kedua-dua belah tangannya itu?

Di balik cakap yang baik-baik, seperti manusia-manusia lain, Wak Ndasmu ada sikapnya yang kesetanan. Dia permarah, mudah naik angin, ‘kesetanan’ kata orang kampungnya. Tapi, bila setannya bertemu dengan yang berhormat-yang berhormat dan yang mulia-yang mulia, setannya boleh tahan sedikit naik angin, menunduk, ikut berjiwa hamba. Namun, dengan rakyat yang kodi-kodi, kalau ada tersalah cakap, tersalah buat, boleh jadi dimaki hamun habis seluruh keturunan orang itu. Namun, tempoh hari, ‘setannya’ tak boleh dikawal ikat lagi. Seseorang telah ‘ditangankannya’ tempoh hari. Jejaka muda yang membawa Mustang berwarna emas, sibuk mengintai-ngintai isteri ketiga Wak Ndasmu yang seusia anak bongsunya ketika dia bergelut mengurut. Wak Ndasmu yang sedar akan hal itu terus melayangkan satu tamparan, berdesing telinga jejaka itu. Beberapa hari selepas itu, dengan tak semena-mena, tangan Wak Ndasmu tiba-tiba kudung, tak ada angin, tak ada ribut.

Wak Ndasmu mula tersentak. Jejaka itu… Jejaka itu… Jejaka itu punca segala-galanya. Jejaka yang membawa Mustang warna emas itu yang menghantar-hantar ‘sesuatu’ kepadanya sehingga dia kekudungan! Jejaka itu pula adalah anak seorang yang berhormat, dan yang berhormat pula selalunya berteman rapat dengan bomoh dan pawang! Wak Ndasmu meminta isteri ketiganya yang seusia anak bongsunya untuk membawa dia bertemu dengan Dewangga atau Wonggo di hujung kampung. Bomoh dan teman sepersekolahannya.

“Aku tahu. Ini semua budak Mustang warna emas tu punya angkara, Wonggo.”

“Nanti Ndas. Bagilah aku mboco dulu.”

Dewangga mengambil mangkuk yang berisi air jernih, kemudian diambilnya sebilah keris sambil dipotongnya sebiji limau kasturi. Terkumat-kamit mulutnya dan apabila dia sudah dapat melihat sesuatu dalam air yang masih saja jernih itu, dia pandang Wak Ndasmu.

“Apa kau ada langgar apa-apa pantang yang ‘orang-orang’ Bukit dah bagitau?”

“Pantang? Pantang yang mana ni?”

Ndasmu terdiam seketika sebelum ada sesuatu yang terlintas. Dia pandang Dewangga. Dewangga hembus nafas panjang, geleng kepala.

“Takkanlah sebab itu! Takkan ‘orang-orang’ Bukit tak paham! Budak muda yang bawak Mustang emas tu…jeling-jeling dekat isteri aku! Dayus aku kalau aku tak tangankan budak tu!”

“Ndasmu, itu aku tak tahu…itu antara kau dengan ‘orang-orang’ Bukit.”

Ndasmu tak puas hati. Dia segera mengarahkan isteri mudanya membawa dia bertemu dengan ‘orang-orang’ Bukit, sebuah bukit yang terletak di Kuala. Langit sudah kekuningan kala dia sampai di Bukit. Dari jauh isteri ketiganya yang seusia anak bongsunya memerhatikan Ndasmu bercakap-cakap seorang diri di hadapan sebatang pokok besar. Namun, gaya dia bercakap seolah-olah ada ramai orang di sana, sedangkan menurut penglihatan mata kasar isterinya ketiganya yang seusia anak bongsunya itu, tak ada seekor makhluk pun. Ndasmu tiba-tiba menjerit, marah-marah kepada ‘orang-orang’ yang tak dapat dilihat oleh mata kasar isterinya. Dia terus memaki hamun, sebelum akhirnya kembali kepada isteri ketiganya yang seusia anak bongsunya.

Dalam kereta Ndasmu diam sahaja. Isteri ketiganya yang seusia anak bongsunya, kerisauan dan mula bertanya. Apa ‘orang-orang’ tu cakap? Ndasmu katakan bahawa ‘orang-orang’ Bukit Malawati memberikan beberapa syarat yang tak masuk akal untuk dia menembus kembali kedua-dua belah tangannya. ‘Maksud kakang…kakang boleh dapat tangan kakang balik? Cuma kena ikut syarat-syarat saja?’ Kakang angguk. ‘Apa syaratnya Kakang?’

Ndasmu tenung isteri ketiganya yang seusia anak bongsunya itu.

***

Sebuah kereta mustang berwarna emas mula berhenti di halaman rumah Wak Ndasmu. Seorang jejaka dengan jeans momotaro copy-ori, cermin mata hitam RayBan, jam emas dan rantai emas 916 turun dari kereta. Dia jejaka yang membawa Mustang emas yang ditangan Wak Ndasmu tempoh hari.

‘Terima kasih datang. Mari kita mula’.

Jejaka yang membawa Mustang emas itu pun mula membuka baju-seluar dan menyarung kain pelikat. Dia kemudiannya baring seolah-olah bersedia untuk diurut. Datanglah isteri ketiga Wak Ndasmu yang seusia anak bongsunya, membawa minyak urut. Selepas dilumur minyak di tangan dan jemarinya yang runcing, perlahan-lahan di urutnya jejaka yang membawa Mustang emas itu di semua bahagian tubuh jejaka yang membawa Mustang emas itu. Isteri ketiga Wak Ndasmu yang seusia anak bongsunya itu memandang ke arah Ndasmu sambil bergenang air mata. Tak sampai hati melihat isterinya, Wak Ndasmu menundukkan kepala lalu terpandang kedua-dua tangannya sambil menanti-nanti ‘orang-orang’ Bukit Melawati menunaikan janji mengembalikan semula kedua-dua belah tangannya yang telah kudung itu.


Pengarang :