Keadaan tren kargo yang mengangkut getah dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir di Songkhla, Thailand jam 12.50 tengah hari (waktu tempatan) pada 3 November 2022. Foto Facebook Perlis Permai
AGENDAGLOBAL

Tren kargo Thailand ke Malaysia tergelincir di Songkhla susulan letupan bom

SONGKHLA, 3 DIS: Sebuah kereta api barang Thailand yang menuju ke Malaysia tergelincir selepas bahan letupan yang diletakkan di landasan kereta api itu meletup di Sadao, Songkhla, Sabtu.

Kereta api yang mengangkut getah dari Hatyai ke Padang Besar itu dilaporkan tergelincir pada 12.50 tengah hari (waktu tempatan) pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan, State Railway of Thailand (SRT) memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pekerja kereta api termasuk dua pemandu, seorang juruteknik dan pekerja lain.

Menurut kenyataan itu, 11 daripada 15 gerabak kontena rosak dan tergelincir daripada landasan.

Sementara itu, Penguasa Polis Sadao Kol Bantern Laochareng berkata siasatan awal mendapati letupan tersebut menyebabkan kereta api barang itu tergelincir menyebabkan kontena jatuh daripada landasan.

Insiden itu turut menyebabkan landasan mengalami kerosakan teruk.

“Siasatan awal mendapati bom buatan sendiri seberat kira-kira 26 kilogram (kg) ditanam di atas landasan.

“Kami menemukan lubang besar di trek,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berikutan itu, laluan Hatyai-Padang Besar akan ditutup selama beberapa hari bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan bermula esok – BERNAMA


Pengarang :