Keadaan banjir di Kampung Bukit Canggang, Kuala Langat petang 2 Disember 2022. Foto SSOC
AGENDANASIONAL

Tujuh daerah Selangor diramal hujan lebat hingga 3 pagi, Sungai Langat lepasi tahap bahaya

SHAH ALAM, 2 DIS: Cuaca tujuh daerah di Selangor diramal mengalami hujan lebat sehingga jam 3 pagi ini.

Daerah berkenaan ialah Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama diramal berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Sementara itu, mengikut data portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/ paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Jenderam Hilir, Sepang melepasi tahap bahaya setakat jam 11.15 malam ini.

Sungai Kandis di Klang, Sungai Rasau, Sungai Labu, Sungai Langat bertanda amaran setakat jam 11.30 malam.


Pengarang :