Bendera Jalur Gemilang bersaiz 40 kaki lebar dan 20 kaki tinggi ini dihasilkan dari sumbangan 500 baju terpakai penduduk berbilang kaum di Balakong pada 31 Ogos 2020. Foto Facebook Wong Siew Ki
AGENDANASIONAL

Tumpu tangani isu gugat keharmonian agama, kaum di media sosial

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Kementerian Perpaduan Negara akan memberi fokus kepada usaha menangani isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara khususnya melibatkan institusi raja, agama dan bangsa (3R).

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) susulan terdapat pelbagai isu sensitif yang menyentuh 3R menerusi platform media sosial.

“Beberapa hari lepas, kita telah mengadakan mesyuarat bersama KKD sebab mereka yang melihat hari ke hari isu-isu (3R) yang berada di akhbar dan platform media sosial seperti TikTok, YouTube dan lain-lain.

“Kita akan bersama-sama dengan KKD cuba menangani isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Arkib Negara Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Aaron berkata pihaknya telah merangka beberapa program menerusi agensi di bawah kementerian itu bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Agensi utama sebelum ini ialah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang berada di semua negeri dan sekarang kita mempunyai agensi lain seperti Arkib Negara, Muzium Negara dan Perpustakaan Negara,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :