One Utama Shopping Centre. Foto Tourism Selangor
AGENSI SELANGOR

Tunda percutian di kawasan berisiko, bawa anak teroka aktiviti ‘indoor’

SHAH ALAM, 25 DIS: Ibu bapa yang merancang percutian untuk anak-anak di kawasan berbukit, hutan atau rekreasi sempena cuti hujung tahun dinasihatkan menunda aktiviti tersebut buat masa ini.

Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor berkata sebaliknya ibu bapa boleh membawa anak mereka melakukan aktiviti dalam bangunan (indoor) di beberapa lokasi menarik negeri ini.

Menurut Ahmad Nazri Tashriq Rahmat, lokasi itu seperti AirRider 1Utama (Petaling Jaya), Jump Street Trampoline Park Malaysia (Petaling Jaya), Mission-Q Escape Room (Petaling Jaya), Camp5 Utropolis (Shah Alam) dan Sunway Pyramid Ice (Subang Jaya).

“Musim tengkujuh memang banyak aktiviti terhad untuk dilakukan, tetapi itu bukan penghalang kerana ibu bapa boleh bawa anak mereka main aktiviti ‘indoor’ yang boleh mengeluarkan peluh.

“Sekurang-kurangnya cuti hujung tahun dan hujung minggu mereka tidak membosankan dengan melakukan aktiviti berkenaan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau mengakui hutan merupakan lokasi tumpuan pelancong semasa musim cuti untuk melakukan aktiviti mendaki dan berkhemah.

“Namun orang ramai diingatkan mengelak kawasan terbabit kerana tapak khemah atau trek akan menjadi licin pada musim hujan.

“Tanpa pengetahuan mengenai kawasan dan musim tengkujuh, pelancong berisiko tersesat selain terperangkap dalam tanah runtuh atau banjir,” katanya yang meminta orang ramai mengambil iktibar insiden di Batang Kali, Hulu Selangor baru-baru ini.


Pengarang :