Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Perdana Putra, Putrajaya pada 5 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Ucapan fitnah dalam kempen PRU15, Anwar saman MB Kedah

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Anwar, 75, selaku plaintif, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 Nov lalu, Muhammad Sanusi, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Anwar berkata ucapan dalam ceramah itu diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama ‘Faizal Azumu’ yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 Nov lalu, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov lalu.

Anwar berkata akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), ahli parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan menteri kewangan.

Anwar berkata pada 16 Nov lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Dis lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan tersebut.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Datuk S N Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama, berkata saman itu difailkan pada jam 4.30 petang tadi.

-BERNAMA


Pengarang :