Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Ulang cari kawasan sudah digali, bomba jumpa selimut, alatan khemah

BATANG KALI, 20 DIS: Anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan di sektor C (Riverside) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini yang memasuki hari kelima hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.

“Walaupun semua sektor iaitu sektor A, B dan C telah digali dan diperiksa, kami tetap akan meneruskan operasi SAR termasuk mengulangi pencarian di kawasan sama sehingga kami berpuas hati,” katanya dalam sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

Menurutnya, cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR pada hari ini selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.

Setakat 4 petang tadi, sembilan mangsa masih hilang manakala 24 terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata anggaran mangsa yang masih belum ditemui ketika ini kekal sembilan orang berdasarkan maklumat daripada pengusaha tapak perkhemahan.

“Semakan teliti akan terus dibuat untuk sahkan bilangan mangsa yang masih hilang, bagaimanapun ketika ini anggaran yang dipegang pihak berkuasa kekal sembilan orang,” katanya.

Selain itu, Suffian berkata setakat ini, sebanyak dua laporan orang hilang diterima polis melibatkan mangsa yang masih belum ditemui dalam tragedi awal pagi Jumaat itu.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan tersebut yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.

-BERNAMA


Pengarang :