Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Istiadat Konvokesyen UniSel ke-16 di Dewan Canselor Unisel, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Unisel kekal tahap baik, laksana pelbagai usaha depani dampak Covid-19

KUALA SELANGOR, 3 DIS: Universiti Selangor (Unisel) berada pada tahap baik dan tidak terjejas biarpun berdepan dengan pandemik Covid-19 dua tahun lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai usaha dan strategi dilakukan pihak pengurusan bagi memastikan program akademik, pengajaran dan pembelajaran serta kebajikan pelajar dapat diteruskan dengan baik.

“Bahkan menyedari dunia pendidikan selepas pandemik kian berubah khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), Selangor memperuntuk RM3 juta kepada Unisel bagi meningkatkan kelajuan internet di kampus Shah Alam, iaitu daripada 500MB kepada 1GB dan kampus Bestari Jaya pula 1.5GB kepada 5GB,” katanya.

Beliau berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-16 Unisel di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini .

Disempurnakan Canselornya Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj, konvokesyen yang berlangsung selama dua hari sehingga esok meraikan 1,319 graduan.

Graduan diraikan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Unisel turut mengucapkan tahniah kepada pimpinan universiti yang sentiasa menawarkan pelbagai inisiatif bagi membolehkan pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Ia bermula dengan penawaran Skim Dermasiswa, iaitu yuran pengajian tahun asas secara percuma dan kini Unisel melalui Fakulti Sains Kesihatan mengorak langkah dengan menawarkan program Perantisan Barisan Hadapan Selangor (Selfa).

“Selain itu, kerjasama dengan pihak industri juga turut diperkasakan apabila pelajar berpeluang mendapat biasiswa penuh dan jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian antaranya dengan hospital swasta seperti Pusat Perubatan Sri Kota dan Hospital Pakar Avisena,” katanya.

 


Pengarang :