Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M Latypov menyampaikan piala kategori kecemerlangan korporat sektor utiliti kepada Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir pada majlis penyampaian Anugerah International Business Review ASEAN 2022 di Hotel Sama Sama, Sepang pada 9 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Urus sampah terbaik, KDEBWM menang lagi anugerah korporat cemerlang

SEPANG, 10 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) sekali lagi merangkul Anugerah International Business Review (IBR) ASEAN 2022 dalam kategori Kecemerlangan Korporat Sektor Utiliti bagi pengurusan sisa pepejal pintar.

Anugerah berprestij dari The IBR Asia Group disampaikan Duta Persekutuan Rusia ke Malaysia Naily M Latypov kepada Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir di Majlis Anugerah dan Gala Dinner malam tadi.

Ramli berkata kemenangan itu menjadi pemangkin semangat untuk beliau bersama hampir 11,000 pekerja KDEBWM memberi khidmat terbaik pada masa depan.

“Ini bukti komitmen kita sebagai syarikat terbesar yang mengurus sampah serta sisa pepejal. Kejayaan ini merupakan perangsang untuk kita dalam mendepani keadaan lebih sukar selepas pandemik Covid-19 dan banjir.

“Kita juga berdepan isu sampah haram dan kutipan sampah tinggi. Tekad kita selepas ini untuk kukuhkan sistem operasi dan mampu mengutip sampah pada bila-bila masa,” katanya.

Pada 2020, KDEBWM turut merangkul anugerah sama bersama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (kecemerlangan korporat sektor utama pengurusan perlombongan transformatif dan lestari) dan Smart Selangor Delivery Unit (penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam pembangunan negeri pintar).

Selain KDEBWM, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor turut merangkul anugerah kategori penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam sektor rumah mampu milik dan Tourism Selangor (strategi promosi pelancongan).


Pengarang :