EXCO pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bergambar bersama pemain industri ketika perasmian program Jelajah Usahawan Digital Selangor anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Usahawan disaran ganda usaha tingkat mutu produk, tembusi pasaran global

KLANG,10 DIS: Usahawan terlibat Jelajah Usahawan Digital Selangor perlu menggandakan usaha dengan membaiki mutu produk bagi membolehkan ia menembusi pasaran antarabangsa, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata usahawan perlu bermatlamat untuk memasarkan produk masing-masing ke peringkat antarabangsa yang mempunyai mutu lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan platform yang menghubungkan usahawan tempatan dan luar negara seperti menganjurkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) iaitu pameran perdagangan dan persidangan peringkat antarabangsa.

“Mungkin hari ini usahawan berpendapat produk mereka tidak boleh ke peringkat lebih tinggi tetapi jika komited pasti dapat mencapainya dengan meletakkan matlamat untuk menjadi individu berjaya kerana mahu memasarkan produk ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri kelima hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Pada masa sama, Chang Khim memaklumkan antara perkara yang usahawan perlu lakukan ialah menaik taraf mutu produk ke peringkat antarabangsa termasuk pembungkusan dan kandungan menepati piawaian ditetapkan.

“Pengetahuan tentang memperluas perniagaan dalam pasaran e-dagang penting, tetapi usahawan juga perlu bersedia menaik taraf produk untuk menyertai SIBS kerana ia merupakan platform perniagaan kepada perniagaan.

“Apabila kesemua ini sudah lengkap mereka boleh menikmati kemudahan lain seperti bantuan pinjaman Hijrah supaya dapat memacukan lagi perniagaan selain bank usahawan dan perdagangan lain,” katanya.

Baru-baru ini, Chang Khim mengumumkan SIBS 2022 yang berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober lalu mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion.

Acara Ekspo Taman Perindustrian Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM1.2 bilion diikuti Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dengan RM171 juta.


Pengarang :