Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup “Capacity Building” Gerak Gempur SPM 2022 di SJKT Ladang Midlands Shah Alam pada 29 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wajib pelitup muka pertingkat mutu kebersihan kendalian makanan

SHAH ALAM, 29 DIS: Penggunaan pelitup muka yang diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran negeri ini mulai 1 Januari bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.

“Kita minta pihak berkuasa tempatan cuba melaksanakannya kerana pemakaian pelitup muka beri manfaat dan mahu teruskan kebiasaan yang ada ketika berdepan Covid-19,” katanya.

Beliau bercakap selepas merasmikan majlis penutup ‘Capasity Building’ Gerak Gempur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 anjuran Majlis Perundingan Masyarakat India Selangor (SICC) di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan EXCO berkaitan akan meneliti tempoh sebenar pemakaian pelitup muka sebelum menguatkuasakan tindakan kompaun jika peniaga ingkar arahan tersebut.

“Tindakan kompaun adalah proses terakhir kerana keutamaan mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk mendidik dalam beberapa tempoh sehingga tiga bulan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meningkatkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengusaha restoran dan penjaja bermula tahun depan.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan tersebut, yang menjadi antara syarat bagi kelulusan lesen perniagaan.

 


Pengarang :