Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (belakang, tengah) bersama pengurusan sekolah dan muriddi sebuah sekolah di Subang Jaya selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada 21 Disember 2022. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat salur bantuan persekolahan kepada 400 pelajar di Subang Jaya

SHAH ALAM, 22 DIS: Seramai 400 pelajar di beberapa sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menerima sumbangan persekolahan berbentuk beg, kasut dan peralatan menulis.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata pihaknya dengan kerjasama Persatuan Buddha Subang Jaya memperuntuk RM7,000 untuk membeli keperluan persekolahan itu.

“Sumbangan persekolahan ini dibuat setiap tahun dan pada kali ini kita bekerjasama dengan persatuan bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat.

“Untuk kali ini, seramai 400 pelajar yang kurang berkemampuan menerima manfaat yang mana nama mereka dikemukakan pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Michelle, pihaknya berharap bantuan diberikan dapat meringankan beban keluarga.

Sebelum ini, Michelle memaklumkan DUN Subang Jaya memperuntuk RM94,225 sejak Januari hingga November sebagai bantuan kepada sekolah kawasan terbabit.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16 sekolah menerima dana itu termasuk sekolah kebangsaan, sekolah menengah, sekolah agama serta sekolah jenis Cina dan Tamil.


Pengarang :