Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad ketika program Bual Bicara dan Hi Tea Puspanita Hulu Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Wanita diseru amal gaya hidup sihat, kekal cergas

HULU SELANGOR, 5 DIS: Wanita perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjalankan aktiviti berkebun dan bersukan dalam kehidupan seharian.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata amalan itu membantu untuk kekal cergas selain sihat luaran dan dalaman.

“Wanita bergelar ibu dan suri rumah perlu sentiasa menjaga kesihatan dan penting melakukan rutin harian sihat supaya kekal cergas.

“Selain aktiviti sihat, amalan pemakanan sihat dan seimbang juga antara faktor penting kekal cergas dengan memilih makanan sihat serta elak makanan segera,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beliau bercakap dalam program bual bicara Pekawanis bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Selangor di Jelajah Selangor Penyayang Hulu Selangor semalam.

Tambah beliau, ibu bapa perlu menerapkan ilmu kesihatan kepada anak-anak supaya mementingkan kesihatan dalam kehidupan seharian.

“Masyarakat umumnya tahu tentang ilmu kesihatan tetapi kadangkala tidak mengamalkannya. Ini antara cabaran untuk memulakan kehidupan lebih sihat bersama keluarga.

“Dengan penerapan hidup sihat anak-anak akan terbiasa dan sama-sama menjaga kesihatan,” katanya lagi.


Pengarang :