Orang ramai membelek naskhah yang dijual dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga asing teruja pesta buku Selangor sedia aktiviti menarik, jualan murah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 10 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 bukan sahaja menarik perhatian rakyat tempatan malah turut dikunjungi warga asing yang menetap di negara ini.

Tahira Jamil, 35, yang bertugas sebagai guru teruja berpeluang mengunjungi SIBF memandangkan program seumpama itu tidak banyak dianjurkan di negara asalnya.

“Di Pakistan ekspo seperti ini hanya dianjurkan di bandar besar dan buku dijual sangat mahal. Hanya golongan berada mampu beli serta kunjunginya.

Tahira Jamil. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Rakyat Malaysia beruntung kerana dapat berseronok sertai akvititi disediakan secara percuma walaupun tidak beli buku,” katanya yang sudah enam tahun menetap di negara ini.

Sementara Maizura Mior Arifin, 36, memanfaatkan hari terakhir persekolahan membawa anaknya mengunjungi eskpo anjuran Kerajaan Negeri yang akan berakhir Ahad ini.

“Saya sengaja bawa anak hari ini (semalam) kerana esok (hari ini) pasti padat kerana cuti sekolah sudah bermula. Anak dapat beli buku digemari dengan tenang tanpa perlu berebut dengan pengunjung lain,” kata eksekutif syarikat swasta itu.

Khairul Abd Rashid. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pembantu hospital Khairul Abd Rashid, 50, kunjungan ke SIBF demi memenuhi permintaan dan meluangkan masa bersama anak-anaknya.

“Aktiviti disediakan menarik dan banyak pilihan buku. Malah ia peluang terbaik untuk keluarga pilih buku digemari dan mencuba pelbagai aktiviti,” katanya.

Peguam Hemy Annerina Haja Mydin, 36, pula mengunjungi ekpo terbabit untuk menambah koleksi buku kerana banyak pilihan disediakan pempamer.

“Ekspo seumpama ini perlu diteruskan kerana buku dari pelbagai genre dijual secara tidak langsung dapat memupuk minat membaca dan mencintai ilmu dalam kalangan rakyat sejak dari peringkat kanak-kanak,” katanya.

SIBF tahun ini dianjurkan Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai urusetia membabitkan wakil industri dari lapan negara luar iaitu United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan, Egypt, Indonesia, China dan Singapura.

Sementara itu, lebih 100 pempamer tempatan turut terlibat dalam pameran di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Pengarang :