Sekitar tapak operasi menyelamat mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s organic Farm Batang kali pada 17 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Waris harap mangsa tragedi tanah runtuh ditemui selamat

SUNGAI BULOH, 17 DIS: Keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, dekat sini masih meletakkan harapan agar ahli keluarga masing-masing ditemui dalam keadaan selamat.

Perkara itu dikongsikan oleh Sukarelawan Yayasan Buddhist Tzu-Chi, Tan Chee Wei, 50, yang menemani waris mangsa tragedi itu di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di sini sejak semalam.

“Memang mereka (waris mangsa) masih lagi berharap (selamat) walaupun ada antara mereka sudah memberikan data asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti mangsa,” kata Tan.

Beliau berkata yayasan tersebut hadir ke hospital itu bagi memberikan sokongan moral kepada waris mangsa.

“Kami juga menyediakan makanan dan keperluan asas selain menemani mereka untuk menjalankan beberapa prosedur yang diminta,” kata sukarelawan lelaki itu.

Beliau berkata seramai 50 sukarelawan ditempatkan di beberapa lokasi sejak semalam iaitu di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Balai Polis Ulu Yam Bahru.

Sementara itu, seorang warga emas yang dipercayai waris mangsa tragedi dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan meraung ketika memasuki kawasan Jabatan Forensik.

Lelaki itu kemudiannya ditenangkan oleh seorang wanita.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa yang belum ditemui disambung semula 8 pagi tadi.

Insiden sekitar 2.42 pagi Jumaat itu melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

-BERNAMA


Pengarang :