Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail bergambar bersama penerima sumbangan zakat Tabung Kebaikan pesakit Hospital dan geran pendidikan anak oku di Auditorium 1 hospital UITM Puncak Alam pada 2 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih RM2.1 juta bantu pesakit biaya kos rawatan hospital

OLEH DIANA ABD WAHAB

PUNCAK ALAM, 2 DIS: Sebanyak RM2.1 juta diagihkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi meringankan beban pesakit kurang berkemampuan biaya kos rawatan hospital.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sumbangan itu disalurkan kepada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) membabitkan 15 hospital dan institusi perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata bantuan berkenaan khusus untuk membantu pesakit menjelaskan bayaran rawatan tertunggak.

“Bantuan ini khusus untuk pesakit yang bukan dalam kategori asnaf yang perlu menjalani rawatan atau pembedahan segera dan berdepan masalah kewangan.

“LZS menyantuni mereka dengan sumbangan yang disalurkan menerusi TKPH. Kita tak tetapkan jenis penyakit atau kos rawatan tetapi utamakan pesakit dalam kategori gharimin (berhutang),” katanya pada Majlis Serahan Sumbangan Dana TKPH di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

Antara yang menerima sumbangan itu adalah Hospital Kuala Lumpur sebanyak RM300,000, Yayasan Institut Jantung Negara (RM300,000); Pusat Perubatan Universiti Malaya (RM200,000); Hospital Canselor Tuanku Muhriz (RM200,000) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (RM150,000)

Manakala institusi perubatan adalah Majlis Kanser Nasional (RM200,000) dan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (RM200,000).


Pengarang :