Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor , Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tengah) memegang cek cura Zakat Selangor Peduli Tahun 2022 bernilai RM 77.7 juta bergambar bersama penerima zakat yang lain pada Majlis Program Kongsi Rezeki bersama Komuniti Lembaga Zakat Selangor di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya .pada 5 Disember 2022.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN / SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor agih RM77.7 juta bantuan untuk asnaf, golongan bersasar

PETALING JAYA, 5 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) untuk asnaf dan golongan bersasar sejak Oktober lepas hingga bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata peruntukan tersebut memanfaatkan golongan asnaf, B40, M40 dan institusi di Selangor yang bergelut dengan kos sara hidup pasca-Covid-19 dan kejadian banjir tahun lepas.

“Penyaluran zakat secara bersasar adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup akibat inflasi terhadap asnaf fakir, miskin dan menyokong pemulihan institusi di Selangor,’’ katanya berucap pada majlis pelancaran Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5 peratus di Subang Jaya dekat sini hari ini.

Beliau berkata melalui ZSP, Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) sebanyak RM33.5 juta telah diperuntukkan oleh LZS kepada 67,000 penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf bermula hari ini.

“Bantuan ‘one-off’ (sekali beri) sebanyak RM500 adalah bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima agar golongan tersebut dapat memanfaatkan bagi keperluan susulan peningkatan kos sara hidup.

“Bantuan itu akan dikreditkan secara terus ke akaun bank asnaf yang berdaftar dengan LZS bermula hari ini,’’ katanya.

Inisiatif ZSP diperkenalkan pada 2021 bagi menyalurkan bantuan kepada golongan bersasar dan melibatkan agihan zakat sebanyak RM62.5 juta.

Sementara itu, Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5 peratus bertemakan ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ dilancarkan bagi menggalakkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat sebelum akhir tahun yang bermula 15 Nov lepas hingga 31 Dis ini.

– BERNAMA


Pengarang :