Mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali bergambar bersama pasukan mencari dan menyelamat yang menerima penghargaan di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 13 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10 agensi terlibat operasi menyelamat mangsa tanah runtuh Batang Kali terima penghargaan

Oleh AZIAN AZIZ

HULU SELANGOR, 14 JAN: Sebanyak 10 agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali diberi penghargaan dalam majlis di Wisma Antara Gapi di sini malam tadi.

Penghargaan berbentuk wang tunai RM2,000 dan plak bagi setiap agensi disumbangkan oleh Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dan Pejabat Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Hulu Selangor selain sumbangan hamper daripada keluarga mangsa.

Agensi yang menerima penghargaan termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor, Polis Daerah Hulu Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor.

Mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali berbual bersama sebahagian anggota penyelamat di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 13 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor Dr Sathia Prakash berkata majlis berkenaan bagi menghargai usaha dan jasa semua agensi terlibat yang bertungkus lumus sepanjang melakukan tugas menyelamat.

“Tugas yang dilakukan aselama sembilan hari oleh semua agensi berkenaan tak boleh dibayar dengan wang ringgit atau apa pun.

“Ini adalah tugas mulia dan kita adakan majlis ini untuk sampaikan rasa terima kasih dan penghargaan kita kepada mereka,” katanya.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berucap ketika majlis penghargaan pasukan mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh Batang Kali di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 13 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Penyelaras DUN Batang Kali Saifudin Shafi Muhammad berkata kejadian ini membuktikan rakyat bersatu menghadapi musibah tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang.

“Kita juga terhutang budi seumur hidup dengan semua agensi terutama pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus di lokasi kejadian,” katanya.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember 2022 mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :