Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh (dua kiri) meninjau bekalan ayam ketika lawatan ke sebuah pasar raya di Bandar Baru, Jelawat pada 5 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

10,894 kes seleweng barangan keperluan direkodkan sepanjang tahun lalu

BACHOK, 5 JAN: Sebanyak 10,894 kes seleweng barangan keperluan menerusi rampasan bernilai RM115 juta direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata jumlah itu turut melibatkan kesalahan peniaga yang didapati menipu pelanggan termasuk menukar tanda harga telur.

“Ada juga kes didapati melanggar kesalahan sebagai contoh kalau dia (peniaga) menjual telur itu dengan menulis harga lain, katalah gred B tetapi dia tulis gred lain, jadi kalau didapati melakukan kesalahan, dia boleh diambil tindakan oleh penguat kuasa.

“Kes sedemikian kita ambil tindakan sita kerana didapati melakukan kesalahan tanda harga,” katanya pada sidang media selepas meninjau bekalan makanan di sebuah pasar raya di Jelawat di sini hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan lain yang direkodkan ialah berkaitan bekalan minyak masak paket, gandum, petrol dan diesel.

Fuziah berkata usaha berterusan dilakukan menerusi Ops Bersepadu bagi memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi terutama ketika menghampiri musim perayaan.

“Dalam melaksanakan Ops Terjah pada 17 Disember 2022 hingga kini pihak penguat kuasa memeriksa 12,293 premis dan mendapati 9,961 bekalan mencukupi.

“Daripada jumlah itu sebanyak 9,961 premis didapati bekalan mencukupi, 2,118 bekalan berkurang dan hanya 214 premis perniagaan yang tiada bekalan,” katanya.

Katanya, masalah bekalan telur pula terkawal dan dijangka selesai sepenuhnya Februari ini menerusi pelbaga usaha termasuk mengimport telur dari India.

– BERNAMA


Pengarang :