Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) di iringi EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bergambar bersama 11 peniaga yang menerima surat tawaran dan kunci gerai Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

11 peniaga terima kunci gerai medan selera baharu di Ampang Jaya

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 20 JAN: Seramai 11 peniaga Gerai Statik Jalan Ayer Lama menerima surat tawaran dan kunci gerai Laman Selera MPAJ@Ampang Jaya daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini semalam.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata medan selera baharu yang mula beroperasi pada 16 Januari dilengkapi 17 buah gerai, 6 kiosk, surau, tandas awam serta kemudahan tempat letak kereta.

“Medan selera baru ini antara usaha memajukan golongan usahawan di kawasan Ampang Jaya dengan menaik taraf industri makanan dan minuman serta menggalakkan aktiviti komersial sekali gus meningkatkan ekonomi warga Ampang Jaya,” katanya ketika merasmikan medan selera berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir menandatangani plak perasmian di Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto MPAJ

Majlis turut dihadiri EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han,  EXCO Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Medan selera dengan reka bentuk Brutalist seluas 0.71 ekar dibina menerusi peruntukan RM4.6 juta daripada KPKT turut melibatkan pembangunan sebuah Pusat Anaerobic Digester (AD) MPAJ yang berkeluasan 0.37 ekar.

Dalam usaha memajukan laman selera baru ini, peniaga terlibat diberikan pengecualian sewa selama tiga bulan sebagai penghargaan atas sokongan kepada MPAJ.


Pengarang :