Kakitangan dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai aktiviti pendakian sambil mengutip sampah anjuran Helang Hikers by Team Selangor di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim, Perak pada 28 Januari 2023. Foto Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

140 individu daki tiga bukit sambil kutip sampah, pupuk kesedaran jaga alam

SHAH ALAM, 30 JAN: Seramai 140 individu menyertai aktiviti pendakian anjuran Sukarelawan Team Selangor di tiga pusat rekreasi pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua sekretarianya berkata Jelajah Ekspedisi Helang Hikers di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim, Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya dan Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu membawa misi mengutip sampah demi kelestarian lokasi pendakian.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Peserta terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Malim Gunung selain ahli Kawasan Rukun Tetangga Pangsapuri PKNS Taman Medan, Kumpulan Rawang Hikers dan orang awam.

“Mereka mengambil masa selama dua jam setengah untuk menyelesaikan misi mendaki sambil membersihkan laluan pendakian,” kata Syahaizel Keman ketika dihubungi.

Beliau berkata lebih 12 kg sisa sampah berjaya dikumpul peserta sepanjang tempoh berkenaan dengan paling banyak di Bukit Changkat Asa.

“Kita merancang melaksanakan aktiviti ini sebulan sekali di tiga tempat pendakian kerana ia mampu menghimpunkan semua pendaki di negeri ini daripada pelbagai latar belakang.

“Matlamat kita adalah untuk memberi kesedaran penjagaan kebersihan dan keindahan hutan rekreasi selain mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.


Pengarang :