Suasana sekitar majlis pengakuan penerimaan jawatan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya penggal 2023 di Dewan Bunga Tanjung MBPJ pada 4 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

24 ahli majlis MBPJ angkat sumpah, bantu pembangunan, bersama atasi isu penduduk

PETALING JAYA, 4 JAN: Seramai 24 ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) termasuk dua lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Lafaz sumpah jawatan yang berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini dibaca hadapan Datuk Bandar Petaling Jaya di Dewan Bunga Tanjung MBPJ.

Mohamad Azhan Md Amir berharap pelantikan berkenaan membantu pihaknya menyampaikan perkhidmatan yang cekap, efektif serta proaktif bagi memastikan kepuasan penduduk Petaling Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (tengah duduk) bergambar bersama ahli majlis selepas majlis pengakuan penerimaan jawatan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi penggal 2023 di Dewan Bunga Tanjung MBPJ pada 4 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Peranan ahli majlis menggalas tanggungjawab sebagai penggubal dasar selari dengan Kerajaan Negeri selain menggerakkan masyarakat untuk terlibat dengan program anjuran MBPJ.

“Saya berharap semua ahli majlis peka dengan keadaan penduduk setempat dan membantu mengatasi masalah dihadapi. Komitmen semua ahli majlis diperlukan demi pembangunan Petaling Jaya,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengumumkan seramai 272 ahli majlis 12 pihak berkuasa tempatan dilantik bagi penggal 2023.

Daripada jumlah itu, 28 peratus atau 76 pelantikan merupakan ahli majlis wanita.


Pengarang :