EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

30 daripada 397 permohonan geran ‘Kita Selangor’ disenarai pendek, dibentang esok

SHAH ALAM, 25 JAN: Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor menyenarai pendek 30 kertas cadangan yang layak dikemukakan dalam sesi pembentangan Geran Perpaduan ‘Kita Selangor’ 2023 esok.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata sejak dibuka pada 9 hingga 20 Januari lalu, pihaknya menerima 397 permohonan daripada pelbagai agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Setelah pihak jawatankuasa memproses dan menilai secara terperinci setiap permohonan, sebanyak 30 kertas cadangan telah disenarai pendek dan akan melalui sesi pembentangan (pitching) esok.

“Pengumuman permohonan mereka yang berjaya (disenarai pendek) telah dimaklumkan melalui e-mel semalam,” katanya kepada Selangorkini.

Sebelum ini Dr Siti Mariah memaklumkan Geran Perpaduan ‘Kita Selangor’ membabitkan dana keseluruhan RM250,000.

Geran itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan bagi memperkukuhkan mesej perpaduan melalui program, penyelidikan dan insiatif sekali atau berkala melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang serta kaum.

Jumlah geran yang boleh dimohon ialah antara RM10,000 hingga RM20,000 sahaja untuk setiap permohonan, bergantung kepada kelulusan Jawatankuasa Penilai Geran.

Cadangan program harus bertepatan dengan salah satu tema perpaduan termasuk dalam pendidikan, sukan, aktiviti sukarelawan, seni kebudayaan, patriotisme dan kenegaraan, pembendungan diskriminasi dan lain-lain bidang bersesuaian.


Pengarang :