Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (dua, kiri) mendengar penerangan daripada Pengurus Teknikal Pantai Timur Celcom Digi Amir Miraj (kanan) ketika hadir meninjau menara telekomunikasi di Jalan Bendang Pa Yong sempena lawatan kerja beliau ke Kelantan pada 13 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

350 menara telekomunikasi yang terjejas banjir dinaik taraf sejak 2014

TUMPAT, 13 JAN: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menaik taraf 350 menara telekomunikasi di kawasan yang terjejas banjir di seluruh negara, sejak 2014.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata usaha menaik taraf itu turut melibatkan negeri di Pantai Timur termasuk 127 tapak menara telekomunikasi yang terjejas banjir di Kelantan.

“Kita sudah ada senarai untuk seluruh negara tetapi maklumat terperinci akan diberikan nanti, cuma untuk proses menaik taraf di Kelantan ia sedang berjalan dan minta dipercepatkan.

“Usaha ini dilakukan bagi memastikan tiada masalah timbul berkaitan telekomunikasi apabila berlaku bencana banjir dan saya akan pastikan rakyat mendapat manfaat yang sepatutnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menziarahi kediaman petugas Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan yang terlibat banjir Disember tahun lepas di Taman Sri Dalam Rhu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sementara itu, Mohd Ali Hanafiah berkata naik taraf bagi tapak menara telekomunikasi di kawasan itu dilakukan antara paras satu hingga empat meter (m) dengan kos RM60,000 hingga RM180,000 namun ia bergantung kepada persekitaran dan kesesuaian tempat.

“Semasa banjir Disember tahun lalu, kira-kira 100 tapak menara terjejas akibat pemotongan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kita telah dapat kerjasama yang baik dengan TNB,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :