Anggota polis trafik Kuala Lumpur memeriksa penunggang motosikal yang melakukan kesalahan sempena operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur pada 1 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

372 saman, 10 motor disita dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengeluarkan 372 saman pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di 26 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh ibu negara awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata ia merupakan hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas 841 buah kenderaan yang terlibat di kesemua lokasi SJR.

“Sebahagian besar pemeriksaan malam ini dibuat ke atas kenderaan jenis motosikal iaitu sebanyak 619, diikuti kereta (171), van (19) dan jeep (32). Seramai 848 individu pula telah diperiksa dalam operasi berkenaan, dan 10 motosikal disita kerana ubah suai struktur kenderaan,” katanya.

Beliau berkata selain itu 12 individu berumur dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

Bercakap kepada media ketika ditemui di satu lokasi sekatan jalan raya Operasi Khas Ambang Tahun Baharu di Jalan Loke Yew, di sini, awal pagi ini Yahaya berkata Operasi Khas itu disertai 30 pegawai kanan dan 200 anggota.

Sementara itu di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata polis mengeluarkan 475 saman dalam operasi sempena Ambang Tahun Baharu yang bermula sejak pukul 9 malam tadi.

“Operasi bersepadu pula dijalankan bermula petang Jumaat lagi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang di seluruh negeri dan sebanyak 450 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempoh itu.

“Dalam operasi itu juga, kami menyita 33 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan terutama motosikal yang diubah suai secara berlebihan dan tanpa kebenaran, manakala dalam operasi malam tadi 475 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau Op Motosikal di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang.

Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pihaknya telah memeriksa 420 kenderaan dalam Op Khas Ambang Tahun Baharu, yang menyaksikan 251 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa mengikuti Op Khas Ambang Tahun Baharu 2023 di Jalan Padang Enggang, di sini semalam, beliau berkata sepanjang 2022, sebanyak 187,424 buah kenderaan telah diperiksa dengan 31,031 telah dikenakan tindakan.

Menurutnya dalam tempoh itu juga 71,025 notis saman dikeluarkan, manakala 245 kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan. – BERNAMA


Pengarang :