Pelajar Smart Tahfiz Masjid Unisel (STMU) bersama tenaga pengajar dan pengurusan Universiti Selangor (Unisel) pada majlis graduasi E-Fast Track di Auditorium Za’Ba, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Unisel Kampus Bestari Jaya pada 6 Januari 2023. Foto UNISEL
AGENDANASIONAL

39 pelajar tahfiz STMU tamat pengajian, bakal duduki SPM

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 6 JAN: Smart Tahfiz Masjid Unisel (STMU) mengadakan majlis graduasi E-Fast Track untuk 39 pelajar sesi 2022 di Auditorium Za’Ba, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel, Hasril Abu Hassan berkata pelajar terdiri 21 lelaki dan 18 perempuan itu tamat pengajian secara atas talian pada 5 Januari lalu selepas mengikuti pengajian hampir 10 bulan.

“E-Fast Track merupakan pendekatan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan pelajar menghabiskan tempoh pembelajaran secara dalam talian hampir sembilan bulan seterusnya melaksanakan bengkel pecutan SPM selama sebulan.

“Enam subjek teras perlu diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains dan Pengajian Islam,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Unisel yang merasmikan majlis tersebut serta menyampaikan sijil graduasi mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada pelajar yang menamatkan pengajian.

“Lembut jangan sampai disudu orang, keras jangan sampai dilempar orang. Jadilah manusia yang inklusif di mana paksinya mendapat keberkatan Allah SWT serta jadikan ini sebagai saham kita di kemudian hari,” kata Prof Madya Dr Hamdan Dato’ Mohd Salleh dalam ucapannya.

Program E-Fast Track bermula pada 2021 untuk pelajar lepasan institusi tahfiz seluruh negara yang tidak memiliki sijil SPM belajar dan menduduki peperiksaan SPM di STMU sambil meneruskan program hafazan mereka seperti biasa.

STMU telah didaftarkan sebagai insitusi pendidikan swasta di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


Pengarang :