Penerima sumbangan program Jom Shopping Dewan Undangan Negeri Seri Serdang menunggu giliran bagi mendapatkan baucar RM200 di Pasaraya Giant Seri Kembangan, Serdang pada 15 Januari 2023. Foto Dr Siti Mariah Mahmud
ADNSELANGOR

396 warga Tionghoa DUN Seri Serdang terima baucar Jom Shopping

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 JAN: Seramai 396 penduduk berketurunan Tionghoa di Dewan Undangan Negeri Seri Serdang menerima baucar Jom Shopping sempena Tahun Baharu Cina pada 15 Januari.

Wakil rakyatnya Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesemua mereka menerima baucar bernilai RM200 di Pasaraya Giant Seri Kembangan, Serdang.

“Sepatutnya 400 orang terima baucar ini namun hanya 396 orang yang hadir ke majlis berkenaan.

“Saya berharap baucar ini dapat menceriakan dan memberi mereka peluang meraikan tahun baharu seperti orang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Pemberian itu dilaksanakan sempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk membeli barangan persiapan perayaan.

Bermula tahun ini nilai baucar dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :